Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Tikam bekas abang ipar, lelaki direman tujuh hari untuk siasatan lanjut

  • Published in Jenayah

AYER KEROH, 15 Mei - Lelaki yang menikam bekas abang iparnya dalam kejadian di Kampung Berangan Enam, Melaka awal pagi 1 Syawal lalu direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Sukri Kaman, reman terhadap suspek berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Lee Kim Keat bermula semalam hingga 20 Mei.

Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota di hadapan sebuah masjid di Kampung Kandang kira-kira pukul 6.30 petang hari yang sama.

Berdasarkan siasatan, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah selain ujian air kencing terhadapnya juga disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

Dalam kejadian itu, suspek datang ke rumah keluarga bekas mertuanya untuk mengambil dua anak perempuannya.

Bagaimanapun, berlaku perebutan sehingga suspek bertindak di luar kawalan dan menikam mangsa menggunakan pisau.

Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.