Wednesday, 23 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Sindiket seludup rokok tumpas, 9.65 juta batang rokok dirampas

  • Published in Jenayah

BUTTERWORTH, 11 Mei - Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan penyeludupan rokok dalam serbuan di Pelabuhan Klang, Selangor pada 5 Mei dan 7 Mei lalu.

9.65 juta batang rokok seludup bernilai RM7.08 juta termasuk cukai dirampas.

Pengarah Kastam Pulau Pinang, Abdul Halim Ramli berkata pasukan penguatkuasaan kastam Pulau Pinang menahan sebuah lori yang membawa sebuah kontena di Jalan Teluk Gong, Pelabuhan Klang pada 8.30 malam 5 Mei lalu.

Hasil pemeriksaan rapi menemukan 4.95 juta batang rokok putih melibatkan nilai anggaran RM396,000 dan cukai berjumlah RM3.171 juta.

Pemandu dan lori ditahan untuk siasatan lanjut.

Kastam turut menahan seorang lelaki iaitu pengurus operasi sebuah syarikat penghantaran yang beroperasi di Klang dipercayai syarikat yang digunakan sindiket tersebut untuk membawa masuk semua rokok yang dirampas.

Pasukan yang sama sekali lagi menahan sebuah kontena di Pelabuhan Klang pada 7 Mei dan pemeriksaan menemukan 4.7 juta batang rokok seludup melibatkan nilai RM376,000 dan cukai RM3.14 juta.

Dua lelaki yang merupakan pengimport dan ejen penghantaran ditahan bagi membantu siasatan kes serbuan kedua itu.

Siasatan awal mendapati kontena-kontena tersebut dikendalikan oleh syarikat perkapalan dan syarikat logistik yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang.

Melalui dokumen diperoleh, mendapati dagangan itu berasal dari sebuah negara Asia Timur.

Modus operandi kedua-dua sindiket itu adalah dengan mengikrar dagangan sebagai permaidani.

Namun membawa pelbagai rokok yang cuba diseludup ke negara ini untuk pasaran tempatan.