Tuesday, 22 June 2021

updated 1:36 PM UTC, Jun 22, 2021

Tidak puas hati larangan rentas, individu tidak bertanggungjawab bakar sekatan laluan lorong tikus PKP

  • Published in Covid19

BESUT, 10 Mei - Sanggup membakar sekatan laluan lorong tikus hanya kerana tidak puas hati dengan larangan rentas daerah dan negeri.

Sikap degil masyarakat yang tidak bertanggungjawab itu dikesan apabila penghadang dan kawat duri yang didirikan Polis Daerah Besut, Terengganu dimusnahkan.

Menerusi status di Facebook, IPD Besut melahirkan kekecewaan kerana masih terdapat individu yang keras kepada, degil dan seakan-akan tidak ambil kisah mengenai arahan PKP yang telah dikuatkuasakan bagi mengekang penularan COVID-19.

Ia hanya kerana laluan yang biasa digunakan telah ditutup sepenuhnya iaitu di sempadan Besut, Terengganu ke Pasir Puteh, Kelantan.

Susulan itu IPD Besut bersama JKR daerah telah meletakkan penghadang batu bagi memastikan laluan tidak dialihkan pada masa akan datang.

Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian merosakkan harta kerajaan agar menghubungi bilik gerakan IPD Besut.