Logo

Iklan raya judi haram: 3 ditahan terlibat pembikinan dua video baharu

KUALA LUMPUR, 20 April - Tiga termasuk dua wanita ditahan berhubung pembikinan dua lagi video iklan lagu raya yang mempromosi kegiatan perjudian secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua suspek rakyat tempatan berusia 21 hingga 42 tahun itu ditahan di sekitar ibu kota, semalam.

Penahanan dibuat selepas polis mengesan dua video baharu masing-masing berdurasi 30 saat dan 48 saat yang mempromosikan perjudian secara dalam talian semalam.

Setakat ini, dua laporan berhubung perkara itu telah diterima.

Kesemua suspek akan direman hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Tegasnya, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan perjudian dan pembikinan video itu.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak berkongsi video tersebut.

Perbuatan sedemikian bukan sahaja salah mengikut undang-undang, malah boleh mendatangkan keresahan dan kegusaran awam.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.