Logo

Lagi individu direman kes pukul 2 pengawal peribadi

KUALA LUMPUR, 18 April - Seorang lagi individu direman bagi membantu siasatan kes pukul dua pengawal peribadi oleh majikan kerana berpuasa.

Perintah reman terhadap suspek berumur 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Atikah Zakaria di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Suspek merupakan majikan yang disyaki memukul dua pengawal peribadi itu direman lima hari hingga Khamis.

Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 506 KK (Ugutan), Seksyen 298 KK (Menghina Islam) dan Seksyen 307 KK kerana cubaan membunuh.

Ahli perniagaan tersebut ditahan polis di sekitar Kuala Lumpur pada Khamis lalu susulan terbabit dalam kejadian memukul pengawal peribadinya sebelum ini.

Mahkamah Majistret Klang pada Khamis, turut mengeluarkan perintah reman kepada empat individu termasuk seorang pengawal peribadi bagi membantu siasatan kes itu.

Tiga daripada suspek yang merupakan pekerja di sebuah syarikat milik majikan terbabit direman lima hari manakala pengawal peribadi itu direman tujuh hari bermula 15 April.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.