Logo

Satu lagi iklan berjudi dikesan, MCMC minta penyedia perkhidmatan turunkan kandungan

PUTRAJAYA, 17 April - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, MCMC mengesan satu lagi penyiaran iklan mengajak umat Islam berjudi bagi mendapatkan dana balik kampung sempena Aidilfitri.

MCMC telah menghubungi penyedia platform seperti Facebook, Twitter, dan YouTube untuk menurunkan kandungan tersebut kerana dianggap mendatangkan mudarat kepada masyarakat.

Kenyataan suruhanjaya itu menjelaskan video sedemikian dimuat naik menerusi platform yang berpangkalan di luar negara dan wujud pertambahan mendadak selepas di muat naik semula oleh pengguna media sosial.

Ia menyukarkan proses melupuskan penyebaran dan kawalan kandungan.

Setakat ini, 61 kandungan telah diminta untuk diturunkan.

13% sudah diturunkan berdasarkan pelanggaran terma perkhidmatan manakala selebihnya masih dalam proses penilaian penyedia platform.

Justeru MCMC meminta kerjasama semua pengguna media sosial lebih bertanggungjawab serta melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai penyebaran video-video yang bercanggah dengan norma masyarakat Malaysia.

Menurut polis video kedua itu dilakukan syarikat produksi yang sama seperti video pertama.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.