Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

Kluster Sivagangga: Mahkamah tetapkan 21 Disember untuk pemilik restoran failkan pembelaan

  • Published in Jenayah


ALOR SETAR, 29 November- 
Mahkamah Tinggi Alor Setar menetapkan 21 Disember depan untuk pemilik sebuah restoran nasi kandar di Napoh, Changlon yang mencetuskan Kluster Sivagangga memfailkan pembelaan terhadap saman yang difailkan oleh Persatuan Pengguna Kedah (CAKE).

Tempoh untuk pemilik restoran, Nezar Mohamed Shahbur Batcha, 57 tahun memfailkan pembelaan sepatutnya berakhir hari ini.

Ia dilanjutkan selepas pihak peguambela yang mewakili CAKE menerima surat daripada peguam yang mewakili Nezar Mohamed pada 26 Oktober lalu bagi memohon tarikh baharu memfailkan pembelaan.

Peguam yang mewakili CAKE, Mohammad Zunun Baihakky berkata, sekiranya tiada sebarang pembelaan difailkan pada tarikh tersebut, pihaknya akan memohon daripada mahkamah untuk memfailkan penghakiman ingkar terhadap Nezar.  

Katanya, jika mahkamah membenarkan penghakiman ingkar, kes tersebut tidak perlu dibicarakan dan pihaknya akan mendapatkan perintah untuk menuntut saman RM1.5 juta serta perintah-perintah lain.

Sebelum ini, Nezar dikenakan denda RM12,000 dan lima bulan penjara kerana melanggar perintah kuarantin di rumah pada 13 Ogos lalu.

Pada 19 Ogos lalu, Persatuan Pengguna Kedah yang mewakili kira-kira 200 penduduk yang terdiri daripada pemilik perniagaan, pekerja dan penerima upah dari mukim Napoh dan Megat Dewa mengemukakan tuntutan saman lebih RM1 juta terhadap pemilik restoran terbabit.

Mereka menuntut ganti rugi selepas tindakan Nezar melanggar perintah kuarantin selepas pulang dari India itu menyebabkan mereka hilang pendapatan selepas kawasan mereka dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).