Saturday, 23 January 2021

updated 4:03 AM UTC, Jan 23, 2021

Kes tembak PGA: Seorang lagi penyeludup yang disyaki akan direman

  • Published in Jenayah


KANGAR, 25 November- 
Seorang lagi penyeludup yang disyaki terlibat dalam kejadian tembakan ke atas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand akan direman pagi esok di Mahkamah Majistret, Kangar.

Suspek merupakan warga Thailand berusia 27 tahun ditahan sekitar jam 9.00 pagi tadi di lokasi kejadian tembakan berkenaan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, hasil soal siasat ke atas suspek mengakui mengenal pasti dua daripada empat suspek penyeludup yang terlibat dalam kejadian tembakan berkenaan yang kini ditahan pihak polis Songkhla, Thailand.

"Saya telah meminta bantuan dan kerjasama daripada Pihak Ketua Polis Daerah Songkhla."

"Mereka berjanji untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak Ketua Polis Daerah Negara Thailand terlebih dahulu sebelum menyerahkan tangkapan tersebut."

Beliau menyatakan demikian dalam satu Sidang Media Khas berkaitan kes berkenaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di Kangar.

Terdahulu, tiga warga Thailand direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 1 Disember.

Manakala 15 warga tempatan, direman empat hari bermula hari ini sehingga 28 November.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kangar, Monica Joseph Gaisah.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Dalam insiden pukul 3.10 pagi semalam, Koperal Baharuddin Ramli, 54 tahun, terbunuh.

Manakala rakannya Koperal Norihan Tari, 39 tahun, cedera parah di perut, apabila berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di lokasi kejadian kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar.

Koperal Baharuddin, dari suku kaum Semelai, meninggal dunia di tempat kejadian.

Koperal Norihan pula kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.