Saturday, 28 November 2020

updated 8:37 AM UTC, Nov 28, 2020

Ceroboh hutan untuk tanam durian, lelaki ditahan JPNK

  • Published in Jenayah

LANGKAWI, 24 Oktober - Seorang lelaki ditahan ketika sedang leka meratakan tanah secara haram di Kompartmen 1 Hutan Simpan Gunung Raya, Langkawi, kira-kira pukul 6:00 petang semalam.

Lelaki penduduk tempatan berusia 47 tahun itu dikesan melakukan kegiatan tersebut sejak seminggu lalu dipercayai mahu menanam pokok durian.

Menurut Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Roslan Rani, bertindak atas maklumat dan risikan, lelaki berkenaan ditahan bersama mesin gergaji, motosikal, parang, cangkul dan penggali lubang yang digunakan bagi aktiviti berkenaan.

Dianggarkan pelbagai jenis pokok di tanah seluas 0.2 hektar itu sudah ditebang tanpa kebenaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Lelaki terbabit kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Langkawi untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 81(1)(e) Akta Perhutanan Negara 1985 jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain turut disiasat mengikut Seksyen 47(1) akta yang sama iaitu memasuki hutan tanpa kebenaran yang boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.