Saturday, 28 November 2020

updated 7:58 AM UTC, Nov 28, 2020

Warga emas mengaku tidak bersalah tuduhan gangguan seksual cucu jiran

  • Published in Jenayah

AYER KEROH, 20 Oktober - Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu jirannya dan ugutan dua minggu lalu.

Warga emas berusia 72 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun lima bulan, 13 Oktober lalu.

Bagi tindakan itu tertuduh didakwa mengikut seksyen 14(a) akta kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah dengan mengugut secara lisan ke atas nenek saudara mangsa.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12 tengah hari di lokasi sama, 7 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut seksyen 506 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon mahkamah meletakkan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Azrul Zulkifli Stork dan Haslinda Abu Bakar yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh tidak mendekati mangsa.

Sebutan semula kes pada 18 November depan.