Saturday, 24 October 2020

updated 12:04 PM UTC, Oct 24, 2020

Cubaan jadikan Langkawi transit penyeludupan dadah gagal

  • Published in Jenayah


LANGKAWI, 27 September- 
Satu lagi cubaan menjadikan Langkawi sebagai transit penyelupan dadah ke luar negara, dipatahkan.

Terbaharu, syabu seberat 56.5 kilogram bernilai RM11.3 juta dirampas, hasil pemeriksaan terhadap sebuah bot di kedudukan 2.3 batu nautika timur laut Tanjung Kemarong, Langkawi, Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah, berkata, syabu itu ditemukan dalam 51 bungkusan teh cina dibaluti plastik lutsinar mampat.

Ia dipercayai cuba diseludup ke Indonesia dari Thailand menerusi perairan Langkawi.

Sindiket juga mengubah modus operandi dengan menggunakan bot nelayan kelas A bagi mengaburi pihak berkuasa selepas kejayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan tiga cubaan sebelum ini.

Dua suspek terjun ke laut ketika bot mereka dikejar bot penguatkuasa.

Hingga kini, kedua-dua suspek belum ditemukan dan APMM masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan mereka.