Thursday, 24 September 2020

updated 2:00 PM UTC, Sep 24, 2020

Bawa 1,000 pil kuda, sepasang kekasih dikejar 8km

  • Published in Jenayah

KEMAMAN, 16 September - Seorang lelaki berusia 32 tahun dan penumpang kereta dipercayai teman wanitanya, 25 tahun ditahan bersama 1,000 pil kuda.

Sebelum diberkas, polis terpaksa mengejar kenderaan dipandu suspek sejauh 8 kilometer di Bandar Baru Kerteh, Kemaman kira-kira 4.25 petang.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, tindakan dibuat selepas polis menerima maklumat aktiviti penjualan dadah di kawasan Kerteh.

Menyedari kehadiran anggota polis, suspek bertindak memecut keretanya sehingga melanggar empat buah kenderaan awam.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan ketika memasuki sebuah restoran makanan segera di Pekan Kerteh.

Pemeriksaan lanjut menemukan 5 paket plastik mengandungi 1,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM20,000.

Siasatan awal mendapati suspek lelaki mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Kes disiasat mengikut seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan beberapa seksyen berkaitan.