Friday, 24 September 2021

updated 1:06 PM UTC, Sep 24, 2021

Bekas setiausaha Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mengaku cuai urus cek

  • Published in Jenayah

KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Perbicaraan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas setiausaha Eksekutif kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mengaku cuai dalam menguruskan beberapa keping cek Yayasan Akalbudi bagi pembayaran kredit kad milik bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Saksi Utama Pendakwaan, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly, berkata beliau mengakui kesilapannya kerana telah membuat pembayaran kad kredit melebihi daripada jumlah sebenar dengan menggunakan cek yayasan itu.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Pertanyaan itu merujuk kepada satu penyata kad kredit bertarikh 28 Disember 2013 bahawa jumlah baki semasa yang perlu dibayar adalah sebanyak RM65,153.32.

Namun Mejar Mazlina membayar lebih iaitu RM71,283 dengan dua cek berasingan, bernilai RM63,701 dan RM7,581.

Mejar Mazlina yang juga saksi pendakwaan ke-90 itu memaklumkan tidak pernah menunjukkan penyata kad kredit dan cek pembayaran kepada Datuk Seri Zahid untuk pengesahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 21 September.