Wednesday, 15 July 2020

updated 1:37 PM UTC, Jul 15, 2020

Peraih ikan memandu dalam keadaan mabuk dihadap ke mahkamah

  • Published in Jenayah

KUANTAN, 1 Jun - Seorang peraih ikan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang atas tuduhan membunuh Irwan Herman Kamarudin yang maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta dipandu melawan arus di Jalan Pintasan Kuantan, minggu lepas.

Tertuduh Teoh Kian Peng, 42 tahun mengaku faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh yang berasal dari Tanah Putih, didakwa melakukan kesalahan itu berhampiran stesen minyak Petronas di Jalan Pintasan Kuantan pada 9.20 malam, 25 Mei lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abd Ghani tidak menawarkan jaminan memandangkan pertuduhan merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin dan memohon agar tertuduh direman di Penjara Penor sementara menunggu perbicaraan.

Tertuduh diwakili peguam Tay Yi Kuan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 8 Julai.

Irwan Herman, 41 tahun, penyelia Alam Flora Sdn Bhd, maut selepas kereta yang dipandunya dirempuh kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang individu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol.