Warga emas meninggal dibunuh anak mental

KEPALA BATAS, 23 Mei - Seorang wanita warga emas ditemui mati di kediamannya dipercayai dibunuh anaknya yang mempunyai masalah mental.

Dalam kejadian di Kampung Paya Lahar Kepah, Kepala Batas, Pulau Pinang pukul 11.30 malam tadi, mangsa berumur 90 tahun ditemui terbaring di ruang tamu dengan keadaan muka berlumuran darah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, berdasarkan siasatan awal berlaku salah faham antara mangsa dan anak keduanya yang dipercayai berlarutan dari pagi semalam.

Keadaan menjadi lebih tegang dan anaknya 50 tahun, yang dipercayai hilang kawalan telah memukul muka ibunya dengan topi keledar dan tongkat mangsa.

Suspek dipercayai mengalami kemurungan dan berada dalam keadaan halusinasi sebelum mendakwa dia perlu membunuh ibunya untuk mengatasi semua masalahnya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.