Tuesday, June 2, 2020

updated 10:45 AM UTC, Jun 2, 2020

Beg galas berisi dadah bernilai lebih RM422,000 dijumpai

  • Published in Jenayah

SERIAN, 19 Mei - Pasukan tentera Serian menemui dadah seberat 1.1 kilogram semasa melakukan rondaan di Jalan Tikus Sempadan Sarawak-Kalimantan pada pukul 10.00 pagi semalam.

Dadah dijumpai dalam sebuah beg galas hitam yang mempunyai lima bungkusan plastik kandungan ketulan kecil berupa kristal, disyaki dadah jenis syabu dengan nilai anggaran lebih RM422,000.

Beg tersebut ditemukan dalam keadaan dibalut dengan pita pelekat dan plastik berhampiran Tebedu Inland Port kira-kira 200 meter dari sempadan.

Beg itu kemudiannya dihantar ke Balai Polis Tebedu untuk laporan dan tindakan lanjut.

Berdasarkan anggaran nilai dadah berkenaan, ia merupakan hasil rampasan antara yang tertinggi di Sarawak.

Sehubungan itu, dalam usaha menangani sebarang kejadian yang mengganggu gugat keselamatan dan kedaulatan negara, pihak Tentera Darat melalui formasi 1 Divisyen dan pasukan di bawah naungan, sentiasa berwaspada dan mempertingkat kawalan keselamatan.