Wednesday, May 27, 2020

updated 1:35 PM UTC, May 27, 2020

Warga emas didenda RM2,000 kerana fitnah

  • Published in Jenayah

AYER KEROH, 27 Mac - Tindakan seorang warga emas melontar fitnah kononnya seorang kenalan dijangkiti COVID-19 sebelum menyebarkannya melalui kumpulan ‘Whatsapp’ membawa padah apabila dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh.

Tertuduh Alias Samad, 63 tahun dikenakan tindakan itu selepas membuat pengakuan bersalah dihadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati membuat penyataan di kumpulan Whatsapp dengan mendakwa kononnya bapa pengadu kes telah dimasukkan ke wad kerana disyaki COVID-19 dan baru balik dari kumpulan tabligh serta enggan mendapatkan rawatan, dengan niat menimbulkan ketakutan awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 9.26 malam, 20 Mac lalu.

Tertuduh yang bekerja sendiri itu di dakwa mengikut seksyen 505(b) kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Muhammad Nazrin pada penghakimannya berkata, adalah menjadi kesalahan untuk menyebarkan maklumat tanpa usul periksa.

Tertuduh juga diarah menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.