Wednesday, 1 February 2023

 

Kejayaan 'Avatar 2' buktikan tayangan di pawagam kembali menjadi pilihan penonton

  • Published in Hiburan

LOS ANGELES, 16 Januari- Kejayaan besar "Avatar: The Way of Water," sekuel arahan James Cameron yang mencecah tayangan pecah panggung dengan kutipan AS$2 bilion di seluruh dunia membuktikan industri filem kembali menyinar selepas suram akibat COVID-19

Cameron, pengarah berasal dari Kanada itu berkata, pencapaian mega jualan tiket antaranya filem "Top Gun: Maverick" dan "Black Panther: Wakanda Forever." membuktikan industri perfileman kini kembali bangkit dan menunjukkan potensi terbaik.

"Kami mempunyai satu tahun untuk melihat bahawa kebangkitan ini bukan sekadar kebetulan, atau hanya satu filem," kata Cameron kepada AFP.

"Anda telah melihat corak, wujud aliran kebangkitan untuk industri filem" tambah Cameron, selepas cap tangannya diabadikan dalam simen di Teater Cina TCL yang terkenal di Hollywood.

Filem Avatar pertama pada 2009 diterbitkan menggunakan teknologi 3D dan visual yang menakjubkan sehingga berjaya menjadi filem yang mencatat kutipan tertinggi sepanjang masa.

Selepas 13 tahun, filem yang menelan kos lebih AS$350 juta (RM1.5 bilion) itu mencipta kejayaan memberangsangkan dengan rekod kutipan AS$175 juta (RM775 juta) pada hari pertama ditayangkan, 14 Disember lalu.

Kejayaan luar biasa itu telah membantu menggiatkan semula industri filem, yang telah diserang oleh persaingan daripada penstrim, dan sikap penurunan minat penonton untuk datang ke layar besar sejak penularan COVID-19.

(Filem Avatar: The Way of Water berjaya memecah rekod pecah panggung/FOTO 20th Century)

Menurut Persatuan Pemilik Teater Kebangsaan, di Amerika Syarikat sahaja, kira-kira 500 pawagam ditutup sejak penularan COVID-19 memaksa perniagaan hiburan membabitkan beberapa syarikat berkubur.

Cineworld, syarikat Britain yang memiliki rangkaian ppawagam kedua terbesar di Amerika sedang dalam penstrukturan semula selepas diisytihar bankrap tahun lalu.

Cameron menambah, selaku pengarah "Titanic," "The Terminator" dan banyak lagi filem pecah panggung, beliau tetap yakin dengan daya maju dan penyesuaian pawagam pada masa hadapan.

"Saya tidak fikir tayangan filem di skrin besar akan mati," katanya.

"Kita memerlukan tayangan filem di pawagam sebagai salah satu budaya dalam masyarakat.

"Kita perlu menonton filem di layar besar, datang ke pawagam bersama jumlah penonton yang ramai untuk merasai satu kepuasan." katanya. -AFP