Wednesday, 8 February 2023

 

Isu pameran rumah hantu, Eizlan Yusof buat laporan polis

  • Published in Hiburan

(Instagram Eizlan Yusof)

KUALA LUMPUR, 6 Disember- Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Seri Zurainah Musa, menyifatkan tindakan pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof yang membuat laporan polis berhubung projek Pameran Hantu Filem itu sebagai remeh.

Zurainah berkata, isu berkenaan tidak patut timbul memandangkan pameran tersebut dianjurkan secara bersama melalui persatuan dan bukan diserahkan kepada mana-mana individu.

Tegasnya, perbincangan secara rasional perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca isu berbangkit sekali gus mencari penyelesaian.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut memandangkan laporan polis sudah dibuat meskipun terkilan dengan tindakan pelakon berkenaan.

''Kita sepatutnya perlu berbincang secara bersemuka untuk mencari penyelesaiannya. Apatah lagi saya pula mengamalkan konsep 'buka pintu' yang bermaksud saya menerima kedatangannya untuk membincangkan isu berkenaan, bukannya hanya melalui media sosial sahaja.

(Zurainah Musa)

"Saya tidak boleh ulas kerana laporan polis telah dibuat. Tetapi fikirkanlah. Apa isu yang harus dijadikan konflik? Saya akan jawab semuanya pada waktu yang tepat meskipun isu ini terlalu remeh bagi saya," katanya pada Majlis Pelancaran Rumah Artis di Kuala Lumpur.

Ketika ditemui pemberita, beliau turut menjelaskan, "projek itu sebenarnya bertujuan untuk menyemarakkan industri kreatif melalui seni solekan, lakonan dan latar bunyi pada pameran tersebut yang boleh disifatkan sebagai pembelajaran luar untuk masyarakat."

Terdahulu, satu laporan polis telah dibuat Eizlan di Balai Polis Ampang bagi membongkar isu penyelewengan dalam projek Pameran Hantu Filem pada Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) di Melaka.

Eizlan mendakwa penganjuran pameran oleh Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) itu menelan kos sehingga RM40,000 selain tidak berpuas hati apabila Pengerusi FINAS seakan mendiamkan perkara berkenaan.