Wednesday, 8 February 2023

 

Penyerang pejalan anjing Lady Gaga dipenjara 21 tahun

  • Published in Hiburan

(Dua ekor anjing milik Lady Gaga Koji dan Gustav)

LOS ANGELES, 6 Disember- Seorang lelaki yang menembak pengasuh haiwan peliharaaan atau pejalan anjing (dog walker) artis pop, Lady Gaga dalam cubaan untuk mencuri anjing milik penyayi itu, tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 21 tahun pada Isnin.

Tertuduh sebelum itu, menerima keputusan mahkamah, namun enggan mengaku bersalah berdasarkan fakta atas tuduhan cubaan membunuh.

James Howard Jackson dan dua lelaki lain menyerang Ryan Fischer di tepi jalan Hollywood pada Februari 2021, selepas bergelut dengan dua daripada tiga haiwan peliharaan penyanyi "Poker Face" itu yang sedang dibawa berjalan-jalan.

Fischer ditembak menggunakan pistol separa automatik, dalam kejadian rompakan, kira-kira 10 malam.

Fischer mengalami kecederaan di dada dalam serangan itu dan berkata di Instagram sebulan kemudian dia mengalami pneumothorax, sakit yang berkaitan dengan kegagalan paru-paru.

Jackson, 20, menerima keputusan tersebut selepas pendakwa raya bersetuju untuk menggugurkan pertuduhan rompakan, serangan dan lain-lain.

"Perjanjian pengakuan itu meminta Encik Jackson bertanggungjawab kerana melakukan tindakan ganas dan memberikan keadilan kepada mangsa kami," kata kenyataan dari Pejabat Peguam Daerah.

Dua penyerang lain telah pun dipenjarakan kerana penglibatan mereka dalam jenayah itu.

Susulan kejadian itu, Lady Gaga menawarkan ganjaran AS$500,000 untuk kepada sesiapa sahaja yang memulangkan dua anjingnya, Koji dan Gustav.

Tidak lama selepas itu, seorang wanita tampil membawa dua ekor anjing baka French Bulldog itu ke Balai Polis Komuniti Olimpik, Los Angeles.

Namun, wanita yang memulangkan anjing tersebut nafi terlibat dalam serangan dan rompakan pada malam Rabu itu.

Pihak polis bagaimanapun tidak menjelaskan bagaimana anjing tersebut diperoleh wanita itu.

Seekor lagi anjing yang diberi nama Miss Asia, dapat mengelak daripada ditangkap, dan berlari kembali ke sisi Fischer yang cedera selepas perompak itu pergi.

Jackson awal tahun ini telah ditangkap semula selepas secara tidak sengaja dibebaskan daripada tahanan dalam apa yang pegawai digambarkan sebagai "kesilapan perkeranian."

Polis Los Angeles berkata pada masa itu mereka tidak percaya anjing itu menjadi sasaran kerana pemiliknya, tetapi kerana daya tarikan baka itu di pasaran gelap. -AFP


(Lady Gaga dan anjing-anjing kesayangannya)