Saturday, 25 June 2022

Kerjasama Malaysia dengan penggiat industri perfileman luar ditingkat

  • Published in Hiburan

BANGKOK, 18 Jun - Malaysia mahu meningkatkan kerjasama dengan penggiat industri perfileman luar negara khususnya di negara-negara ASEAN, dalam usaha mengangkat industri perfileman negara ke tahap lebih tinggi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang kini dalam rangka lawatan kerja ke Bangkok berkata beliau mahu meninjau peluang kerjasama antara penerbit dan pengedar filem di rantau itu.

Annuar juga mahu melihat lebih banyak kerjasama terjalin, antara penggiat industri itu di Malaysia dan negara- negara ASEAN selain di China, India dan Korea.

“Kita tidak boleh tunggu untuk mereka datang. Kita perlu bertindak proaktf untuk membawa industri perfileman ke tahap berikutnya,” katanya di sini.

Tegasnya, penggiat industri perfileman perlu bertindak proaktif bagi membawa industri ke tahap lebih tinggi.

(Annuar dalam rangka lawatannya di Bangkok/FOTO BERNAMA)

Terdahulu, dalam lawatannya, Annuar mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Gross Domestic Happiness (GDH) Studio, Jina Osothsilp untuk menjalin kerjasama dengan Thailand dalam industri perfileman.

Malaysia dan Thailand sebelum ini telah menandatangani perjanjian secara bilateral dalam bidang-bidang seperti telekomunikasi, industri kreatif serta industri filem dan muzik.

Namun berikutan pandemik COVID-19, perjanjian yang dicapai tidak dapat dilaksanakan dan oleh itu Annuar berkata beliau mahu inisiatif itu disambung semula.