Saturday, 25 June 2022

K-KOMM terus ketengahkan seni warisan dikir barat

  • Published in Hiburan

KUALA LUMPUR, 17 Jun- Mengangkat dan melestarikan seni budaya dikir barat agar tidak lapuk ditelan zaman.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi RTM akan terus mengangkat martabat dan memperkasakan seni warisan dikir barat yang terkenal di Pantai Timur kepada Keluarga Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Penyiaran Jabatan Penyiaran, Putri Joliana Yaacob berkata seni warisan seperti dikir barat perlu dipertahankan, dijulang dan diturunkan daripada generasi kepada generasi.

RTM akan terus menjadi platform ke arah mempopularkan seni persembahan budaya Melayu dalam mendepani gelombang persaingan muzik dari negara luar.

"RTM memang tidak ketinggalan untuk memartabatkan dikir barat ini ke serata negaralah. Memang dari dulu lagi sejak 2010 lagi saya rasa memang kita dah mulakan pertandingan ini cuma kita tangguh sekejap.

"Sejak 2015 hingga sekarang kita akan hidupkan balik budaya kita untuk dikir barat ini, jadi kita akan teruskan. RTM akan teruskan terutama sekali kita punya Datuk Ketua Pengarah orang Kelantan,kita akan terus hidupkan budaya dikir barat ini untuk anak-anak muda kita," kata Putri Joliana selepas Majlis Ramah Mesra Pengurusan RTM bersama Finalis Dikir Barat 2022 di Angkasapuri di sini.

(Putri Joliana Yaacob ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Pengurusan RTM bersama Finalis Dikir Barat 2022 di Angkasapuri)

Berkonsepkan 'Menjunjung Seni dan Warisan', peringkat akhir Pertandingan Akhir Dikir Barat 2022 akan berlangsung esok di Auditorium Perdana, Angkasapuri.

Disiarkan secara langsung di TV2 menyaksikan dua kumpulan dari Kelantan berentap merebut gelaran juara iatu Kumpulan Sirat Maharaja dari Bachok dan Kumpulan Sound Creative dari Pasir Puteh.