Monday, 27 June 2022

FINAS sasar RM50 juta pelaburan asing menerusi FIMI sempena Marche Du Film 2022

  • Published in Hiburan

KUALA LUMPUR, 15 Mei- Penyertaan dan penglibatan Malaysia di pasaran filem Marche Du Film (MARCHE 2022), adalah penting sebagai penanda aras kesungguhan Malaysia dalam mempromosi sekali gus menjual produk-produk kandungan kreatif negara ke peringkat antarabangsa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa akan mengetuai delegasi Malaysia ke pasaran filem itu yang diadakan di Palais des Festivals di Cannes, Perancis bermula Selasa (17 Mei) hingga 25 Mei ini.

Marche Du Film merupakan sebuah pasaran filem terbesar dunia yang mengumpulkan ramai penerbit, pemodal, penyiar, pengedar, pembekal serta pembeli filem dari serata dunia untuk membina jaringan penjualan kandungan kreatif di peringkat global selain berkongsi pandangan dan prospek projek filem.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata selain mempromosi dan menjual produk kandungan kreatif negara, tujuan utama Malaysia menghadiri pasaran filem itu adalah untuk menarik pelabur asing ke negara ini melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI).

"Tahun ini kami menyasarkan pelaburan asing ke dalam Malaysia melalui insentif FIMI sebanyak RM50 juta.

"FINAS berhasrat menggunakan pasaran MARCHE sebagai platform bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi penggambaran antarabangsa yang menawarkan 30% rebat tunai melalui FIMI dan tambahan sehingga lima peratus melalui ‘cultural test’,” katanya kepada Bernama.

Md Nasir berkata sebanyak 13 syarikat tempatan yang menampilkan pelbagai produk kandungan kreatif seperti filem cereka, animasi, dokumentari dan lain-lain akan menghadiri MARCHE 2022 dengan 10 syarikat hadir secara fizikal manakala tiga syarikat secara dalam talian.

Antara syarikat terlibat adalah Barnstorm Entertainment, Biscuits Films, Film Wallet Group, Iskandar Malaysia Studios, Jazzy Pictures dan Sarawak Media Group.

“Kita juga mengadakan ‘Pavilion Malaysia’ di sana (Cannes) bagi menghimpunkan penggiat industri kreatif Malaysia di bawah satu bumbung dan memperkenalkan mereka kepada penggiat industri antarabangsa.

“Ini sekali gus membuktikan kesungguhan pihak kerajaan dalam membantu penggiat industri kandungan kreatif tempatan menembusi pasaran global selepas terjejas teruk semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akibat COVID-19,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),
Prof Dr Md Nasir Ibrahim

Mengulas mengenai penyertaan negara dalam pasaran antarabangsa, Md Nasir berkata Malaysia melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dan FINAS telah menyertai pasaran antarabangsa sejak 2009 dengan penjualan kandungan kreatif oleh syarikat produksi tempatan yang menyertainya sepanjang 12 tahun lepas sebanyak RM600 juta.

Beliau berkata nilai pelaburan yang diperoleh menerusi FIMI dari 2013 hingga tahun lepas pula sebanyak RM4 bilion.

“FINAS menyasarkan pelaburan asing bagi projek-projek besar dan berprofil tinggi melalui FIMI seperti sebelum ini. Antara contoh projek yang pernah memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran adalah filem Crazy Rich Asians, Kuu Kuu Harajuku, 6 Underground dan The Mandalorian iaitu siri Star Wars.

“Ini membuktikan negara luar kini sedang memberi fokus untuk menjadikan Malaysia sebagai satu daripada lokasi penggambaran bagi produksi mereka berdasarkan lokasi yang menarik, tenaga kerja berkemahiran, kemudahan produksi, hospitaliti dan insentif yang ditawarkan,” katanya.

Sepanjang sembilan hari penganjuran, pelbagai program mengisi MARCHE 2022 termasuk mesyuarat bersama syarikat produksi antarabangsa, persidangan bertajuk Malaysia - The Heartbeat of Asia dan sesi pasaran produk kandungan kreatif.