Thursday, 26 May 2022

Johnny Depp terlepas projek AS$22.5 juta

  • Published in Hiburan

AMERIKA SYARIKAT, 3 Mei - Projek bagi edisi keenam filem 'Pirates of the Caribbean' dibatalkan selepas bintang utamanya, Johnny Depp dituduh melakukan keganasan rumah tangga.

Ini bermakna pelakon terkenal itu kehilangan peluang meraih bayaran AS$22.5 juta.

Perkara itu didedahkan oleh ejen Depp, Jack Whigham dalam keterangannya dalam prosiding di Virginia, semalam, berkata dakwaan Heard melalui penulisan (op-ed) yang disiarkan dalam Washington Post itu disifatkan sebagai 'malapetaka' terhadap kerjaya Depp di Hollywood.

Whigham yang menjadi ejen Depp sejak 2016, memberitahu mahkamah bahawa selepas 'op-ed' itu disiarkan, keadaan menjadi mustahil untuk mendapatkan projek filem studio bagi pelakon berkenaan.

Beliau berkata, perjanjian sudah pun dicapai dengan Disney untuk Depp muncul dalam edisi keenam filem 'Pirates of the Caribbean' dengan watak tidak asing lagi sebagai Kapten Jack Sparrow.


(Depp pada perbicaraan kes saman fitnah difailkan beliau terhadap Heard - Foto/AFP)

Menurutnya, dakwaan bekas isteri Depp, Amber Heard yang diterbitkan Washington Post membawa malang kepada kerjaya.

Selepas laporan itu diterbitkan, susah baginya mendapatkan projek filem studio bagi pelakon berkenaan.

Ini termasuk pembatalan kemunculan Depp dalam edisi keenam filem 'Pirates of the Caribbean' sebagai Kapten Jack Sparrow.

Depp memfailkan saman fitnah terhadap Heard, atas penulisannya untuk kolum Washington Post itu dengan menuntut ganti rugi AS$50 juta.

Heard yang juga pelakon filem 'Aquaman' pula membalas dengan memfailkan saman menuntut AS$100 juta dan mendakwa dirinya mengalami penderaan serta keganasan fizikal daripada Depp. - AFP