Monday, 27 June 2022

Saya masih gagah berpuasa - Mat Sentol

  • Published in Hiburan

JOHOR BAHRU, 17 April- Pelakon dan pelawak veteran, Mat Sentol atau nama sebenarnya Abd Rashid Yahaya mengakui keadaan kesihatannya masih baik dan mampu berjalan termasuk ke bazar Ramadan meskipun menggunakan tongkat.

"Masih belum cukup tua, ramai lagi yang tua dan gagah berpuasa. Alhamdulillah saya masih mampu berpuasa," katanya yang kini berusia 89 tahun.

Masih keletah dengan lawak jenakanya yang bersahaja dan sentiasa ramah mengisi bicara ini berkata beliau bersyukur masih diberi kesihatan dan mahu terus menjadi anak seni jika masih diberi peluang membintangi drama atau filem.

Ketika ditanya adakah bersedia untuk kembali berlakon, Mat Sentol secara spontan menjawab "Bila-bila masa," katanya berseloroh sambil disambut ketawa pelawat yang hadir di rumahnya di Larkin pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di kediamannya pada Ahad.


(FOTO FB MenKOMM)

Anak kelahiran Muar ini pernah membintangi beberapa filem antaranya Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic.

Menggemari masakan mi siam Singapura, Mat Sentol yang tinggal berdua dengan anak lelakinya, Roslee Rashid, 60, masih menghabiskan masa lapangnya dengan menulis skrip menggunakan bahasa jawi.

Seniman ini juga pernah aktif menghasilkan iklan televisyen dan radio antaranya Jojo, Tora, Ding Dang dan Apollo.

Malah beliau masih mempunyai ingatan yang kuat malah bait-bait lagu dan dialog iklan juga masih mampu diingatinya membuktikan kesihatannya yang baik.