Logo

Tina Turner Brazil meninggal pada usia 91 tahun

FOTO AFP

BRASILIA, 21 Januari- Penyanyi Samba Elza Soares, atau sering digelar Tina Turner Brazil, meninggal dunia pada usia 91 tahun di Rio de Janeiro pada Khamis.

Suara garau dan bertenaga Soares menjadikannya salah seorang penyanyi paling popular dan terkenal di Brazil.

Soares mempunyai lebih daripada 30 rekod sepanjang kerjayanya selama enam dekad.

Di samping Tina Turner, diva kulit hitam itu juga dinobatkan Penyanyi Milenium oleh BBC Radio pada tahun 2000.

Tidak terlepas daripada kontroversi dan tragedi peribadi, Elza Gomes da Conceicao Soares menjadi simbol tentangan dan keberanian menjelang akhir hayatnya.

Anak kepada seorang buruh kasar dan tukang cuci, Soares dilahirkan di Rio de Janeiro pada Jun 1930.

Bapanya memaksanya berkahwin pada usia 12 tahun dan setahun kemudian dia melahirkan anak pertamanya.

Soares mempunyai tujuh anak dengan suami pertamanya tetapi dua anak pertama -- lahir pramatang dan kekurangan zat makanan -- meninggal dunia dalam usia muda.

Pada usia 21 tahun, Soares sudah berstatus janda.

Dia kemudian hidup selama 17 tahun bersama pemain bola sepak terkenal Garrincha, salah seorang bintang bersama Pele dari kejayaan Piala Dunia Brazil pada 1958 dan 1962.

Mereka mempunyai seorang anak lelaki yang meninggal dunia pada usia sembilan tahun. -AFP

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.