Tuesday, 17 May 2022

Senoi Praaq bantu penguat kuasa PERHILITAN dalam Ops Harimau

  • Published in Semasa

GUA MUSANG, 19 Januari - Seramai 21 anggota Senoi Praaq daripada Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak selamat tiba di Gua Musang, Kelantan untuk membantu penguat kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam Ops Harimau.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, sebanyak 7 kenderaan pacuan empat roda digunakan bagi menghantar aset dan kumpulan pertama Senoi Praaq berkenaan.

Mereka akan bertugas di Pos Bihai dan Pos Balar selama tiga minggu bagi menjaga keselamatan petugas Perhilitan dalam operasi memburu harimau belang yang masih bebas berkeliaran.

" Pihak PDRM telah mendapatkan bantuan daripada pihak batalion 3 PGA Bidor untuk bantuan Ops Harimau untuk menjaga keselamatan petugas terutamanya pihak Perhilitan dan penduduk kampung yang berada di kawasan ancaman harimau tersebut.

"Untuk makluman seramai 15 kekuatan anggota batalion 3 PGA, Senoi Praqq dan esok 6 lagi kekuatan akan bersama pihak Perhilitan akan masuk ke kawasan operasi.

"Jadi skop penugasan pasukan keselamatan ini lebih kepada untuk menjaga keselamatan para petugas Perhilitan dan sebagainya dan penduduk kampung di sekitar kawasan beroperasi," kata Sik selepas memberi taklimat kepada anggota Senoi Praaq di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini.

Pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, Jabatan Kemajuan Orang Asli yang turut memberi kerjasama sepanjang penugasan Ops Harimau.