Monday, 16 May 2022

Tiada rumah terbuka Tahun Baharu Cina, jamuan tertutup dibenarkan

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 19 Januari - Prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini dilonggarkan berbanding tahun lalu termasuk kebenaran acara makan keluarga dan aktiviti ziarah.

Menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, acara makan keluarga pada 31 Januari ini dibenarkan bersama ahli keluarga dan saudara-mara.

Bagaimanapun, penganjuran rumah terbuka tidak dibenarkan.

"Tidak dibenarkan rumah terbuka, jadi apa yang kita persetujui oleh Jawatankuasa Kuartet dan juga Kementerian Kesihatan, jamuan tertutup Tahun Baharu Cina. Hanya dibenarkan kepada mereka yang mendapat jemputan sahaja.

"Kedua tidak dibenarkan kepada orang awam yang tidak mendapat jemputan dan ketiga tiada sesi majlis berterusan," kata Halimah dalam sidang media mengenai SOP Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Putrajaya.

Dalam pada itu, upacara sembahyang di rumah ibadat pada 1 dan 2 Februari dibenarkan mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4, selain sembahyang khas 'Hokkien Clan' pada 8 dan 9 Februari.

SOP sama turut terpakai untuk Sembahyang Chap Goh Mei di rumah ibadat pada 15 Februari.