FINAS tawar dana penerbitan bertemakan kenegaraan

KUALA LUMPUR, 27 April - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) menawarkan Dana PELAKSANA 3.0 Kenegaraan kepada syarikat produksi tempatan bertujuan meningkatkan penghasilan karya kandungan kreatif bertemakan kenegaraan.

Tawaran dana itu juga berupaya menjana semula ekonomi industri kreatif yang terkesan akibat COVID-19.

Finas melalui kenyataan medianya memaklumkan, dana itu ditawarkan kepada syarikat produksi tempatan untuk menerbitkan karya bagi slot khas di platform stesen televisyen bertemakan kenegaraan.

Ia melibatkan kategori penerbitan Drama Bersiri Mini (lapan episod) dan Supertelemovie.

Selain itu, Finas turut menawarkan Dana Program TV atau 'over the top' (OTT) dengan kerjasama Media Prima kepada syarikat produksi tempatan yang melibatkan penerbitan Supertelemovie.

Dana itu bertujuan meningkatkan kandungan kreatif tempatan dan penonton di platform penyiar OTT serta memperbanyak pemilikan hak cipta kandungan dalam kalangan penerbit tempatan bagi penjanaan keuntungan pada masa hadapan.

Permohonan bagi dua dana tersebut telah dibuka semalam hingga 25 Mei 2021 melalui laman sesawang Finas.