Monday, November 18, 2019
updated 2:49 PM UTC, Nov 18, 2019

Mahkamah Majistret hari ini, memerintahkan pelakon Datuk Farid Kamil membela diri atas empat pertuduhan

  • Published in Hiburan

 

PETALING JAYA - Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan pelakon Datuk Farid Kamil Zahari, 38 tahun membela diri atas empat pertuduhan termasuk mencederakan anggota polis Januari tahun lalu.

Majistret Nor Arifin Hisham membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie.

Mahkamah membuat keputusan ini selepas meneliti hujahan dan pertimbangan keterangan saksi-saksi termasuk eksibit serta hujahan yang dikemukakan.

Terdahulu ketika ditanya di mahkamah, suami kepada aktres Diana Danielle itu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah daripada kandang saksi.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 dan 18 Julai sebagai tarikh sambung bicara untuk bela diri.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran, manakala Datuk Farid Kamil diwakili peguam Megat Syazlee Mokhtarom dan Datuk Amirul Ridzuan Hanif.

Pada 16 Januari 2018, Datuk Farid Kamil mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan dengan sengaja mencederakan Ashraf Ahmad, 36 tahun dan Konstabel Mohd Nizam Jamaluddin, 25 tahun.

Pada 15 Mei lalu, pelakon ini dijatuhi hukuman penjara 9 bulan, namun Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penangguhan hukuman berkenaan atas kesalahan penyalahgunaan dadah tersebut.