Monday, December 9, 2019
updated 12:40 PM UTC, Dec 9, 2019

Langit Cinta Julang Imej Langkawi Sebagai Lokasi Filem Menarik - MP

  • Published in Hiburan

Langkawi - Langit Cinta, arahan anak Langkawi sendiri Osman Ali yang bakal menemui penonton di pawagam mulai Khamis ini akan menaikkan imej pulau ini sebagai lokasi penggambaran filem yang menarik, kata Anggota Parlimen Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Beliau berkata 80 peratus daripada penggambaran filem itu dibuat di Pulau Tuba iaitu sebuah pulau di gugusan Pulau Langkawi yang memiliki keindahan alam semula jadi yang cantik untuk menjadi latar tempat menarik bagi pembikinan sesebuah filem.

"Saya memang berhasrat supaya lebih banyak lagi syarikat perfileman dari dalam dan luar negeri datang ke Langkawi untuk membuat penggambaran filem yang menarik," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau mengumumkan pelancaran tayangan perdana filem cinta tersebut di sini.

Nawawi berkata pemilihan Langkawi sebagai lokasi penggambaran filem Langit Cinta memberi peluang kepada kira-kira 20 orang penduduk tempatan menjadi pelakon tambahan dan ini boleh memyemai minat mereka dalam bidang lakonan.

"Saya gembira kerana Osman Ali berjaya mencipta nama dalam bidang pengarahan filem dan saya berharap (lebih ramai lagi) anak-anak watan Langkawi yang lain akan bermotivasi untuk terlibat dalam pembikinan filem dan lakonan," katanya.

Osman berasal dari Kampung Bohor Merah di Mukim Ayer Hangat.

Beliau berkata sempena pelancaran tayangan perdana filem itu, bintang utamanya Nor Fazura akan mengadakan sesi bertemu peminat di sini Khamis ini yang dijangka menarik lebih 1,000 orang peminat.

Katanya kira-kira 200 orang penduduk bertuah di sini juga akan dipilih untuk menonton tayangan perdana di sini secara percuma.

"Saya juga sedang berusaha untuk membawa penulis novel Langit Cinta (Damya Hanna) untuk mempromosikan novelnya yang akan ditandatangani oleh Nor Fazura dan Osman Ali," katanya.