MARA perkenal 12 pengusaha tempat peranginan di bawah program GTG-PURE
- Written by Media Baharu
- Published in Ekonomi

(FOTO FB Majlis Amanah Rakyat)
KUALA LUMPUR, 18 Mac- Majlis Amanah Rakyat (Mara) memperkenalkan 12 pengusaha resort atau tempat peranginan di bawah program Gate to Global - Pembangunan Usahawan Resort (GTG-PURE).
pada pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan hari ini berkata pameran itu ialah platform terbaik untuk mengetengahkan dan meluaskan rangkaian promosi bagi tarikan destinasi pelancongan yang ditawarkan oleh pengusaha resort di bawah program GTG-PURE.
“Program GTG-PURE yang sebelum ini dilaksanakan pada 2019 memberi tumpuan untuk membangun dan memperkasakan usahawan hotel, resort, chalet dan rumah inap supaya lebih berdaya saing dalam industri pelancongan negara,” katanya.
Sehingga kini, program GTG-PURE telah membangunkan 184 usahawan yang akan merancakkan industri pelancongan negara.
Jelasnya, penyertaan kali pertama Mara dalam pameran MATTA antara lain turut menyokong kepada pemulihan semula sektor pelancongan negara yang terjejas semasa pandemik di samping meningkatkan jualan dan mewujudkan jaringan perniagaan usahawan dalam industri pelancongan.
Asyraf Wajdi hari ini hadir ke pameran itu yang berlangsung hingga esok (19 Mac) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) untuk bertemu dengan usahawan berkaitan.
(Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hadir ke pameran MATTA di MITEC, ibu negara/ FB Majlis Amanah Rakyat)
Beliau turut menyaksikan majlis pertukaran Sijil Kerjasama antara MAGADH Travel & Tours Pvt. Ltd. New Delhi, India, dengan enam usahawan PURE iaitu TY Hotel, Warisan Pahlawan Resort, Forest Paradise Inn, Glamping Park Travel and Tour Sdn Bhd, Pangkor Village Beach Resort (Perak) dan Kulapuan Resort (Sabah).
Kerjasama ini dijangka meraih potensi jualan bernilai RM7.2 juta melalui penganjuran majlis perkahwinan dan majlis korporat, pakej percutian serta pelancongan yang ditawarkan oleh usahawan GTG-PURE, katanya.