Monday, 27 March 2023

Khazanah lancar 'Future Malaysia Programme' bagi menyokong ekosistem pemula tempatan

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 18 Mac- Khazanah Nasional Bhd melancarkan ‘Future Malaysia Programme’ iaitu inisiatif bagi menyokong ekosistem syarikat pemula tempatan termasuk usahawan,  syarikat pemula, modal teroka dan program usaha niaga korporat melalui usaha sama dengan rakan kongsi domestik dan antarabangsa.

Khazanah dalam kenyataan memaklumkan, program tersebut berada di bawah mandat Dana Impaknya yang merupakan komitmen RM6 bilion bagi tempoh lima tahun. 

Dana Impak adalah tonggak utama di bawah strategi Khazanah untuk Memajukan Malaysia (Advancing Malaysia) bagi pelaburan dalam enam tema untuk menangani isu dan cabaran yang dihadapi negara termasuk masyarakat digital dan hab teknologi, kesihatan berkualiti dan pendidikan untuk semua, pekerjaan baik dan mobiliti sosial, jaminan makanan dan tenaga, membina ketahanan iklim dan persaingan di pasaran global.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata ekosistem pemula merupakan sumber utama bidang keusahawanan, pekerjaan, inovasi dan pelaburan untuk negara.

“Pelbagai potensi penyelesaian bagi menangani cabaran yang dikenal pasti di bawah tema Dana Impak ditemui dalam kalangan syarikat peringkat awal, yang memerlukan suntikan modal berisiko pada peringkat berbeza sepanjang usaha sama, untuk memperkembangkan inovasi dan perniagaan,” katanya.


(Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir/ BERNAMA)

Future Malaysia Programme menyasarkan pelaburan awal kira-kira RM180 juta melalui kerjasama dengan pengurus modal teroka tempatan dan antarabangsa terkemuka serta program usaha sama korporat yang berpusat di Malaysia.

“Selaras dengan usaha ini, Khazanah berbesar hati mengumumkan perkongsian dengan dana modal teroka - Gobi Partners, pengurus modal teroka pan-Asia, dan 500 Global, pengurus modal teroka antarabangsa.

“Kedua-duanya merupakan antara pengurus modal teroka paling aktif dengan rekod prestasi pelaburan yang meluas dan kepakaran untuk penciptaan nilai di Malaysia,” kata Amirul.