Axia serba baharu dilancar 14 Februari ini
- Written by Media Baharu
- Published in Ekonomi

SEPANG, 8 Februari- Syarikat pengeluar kereta tempatan, Perodua bakal melancarkan Axia serba baharu pada 14 Februari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, sebanyak 3,591 unit tempahan diterima setakat hari ini sejak ia dibuka hujung Januari lalu.
“Kami menjangkakan sambutan yang menggalakkan untuk varian ‘SE’ dan ‘AV’ berbanding varian ‘G’ dan ‘X’ kerana saya rasa pengguna Malaysia amat menghargai teknologi dan juga cadangan nilai yang kami sediakan untuk model ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi pandu uji D74A hari ini.
Zainal berkata julat harga tentatif bagi model itu di Semenanjung Malaysia tanpa insurans adalah di antara RM38,600 dan RM49,500 seunit.
Sementara itu, memetik laporan Bernama, Perodua dalam satu kenyataan berkata, jualan bagi bulan Januari 2023 melonjak 23 peratus kepada 21,449 unit yang didaftarkan berbanding 17,444 unit bagi bulan yang sama tahun lepas.
Dari segi pengeluaran pula, Perodua menghasilkan 24,590 unit pada Januari tahun ini, meningkat 40.2 peratus daripada 17,538 unit yang dikeluarkan pada Januari 2022.
Bagi 2023, Perodua menyasarkan untuk mendaftar sebanyak 314,000 unit dan mengeluarkan 330,000 unit kenderaan.
(Sebanyak 3,591 unit tempahan diterima setakat hari ini sejak ia dibuka hujung Januari lalu)
Zainal berkata adalah penting untuk memaklumkan bahawa pada Januari 2022, berlakunya banjir, kekurangan bekalan cip semikonduktor yang teruk, isu tenaga kerja dan kekurangan alat ganti lain – yang menghalang pengeluaran dan jualan.
“Namun demikian, peningkatan dalam volum bagi kedua-dua pengeluaran dan jualan telah menunjukkan bahawa ekosistem sedang berjalan seperti yang dirancang,” katanya.
Zainal berkata Perodua kekal komited kepada matlamatnya untuk menghantar kenderaan kepada pelanggan Perodua secepat mungkin tanpa menjejaskan kualiti atau keselamatan.