Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil susulan operasi BNM
- Written by Media Baharu
- Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 31 Januari - Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil pada Selasa susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
Mudah tunai dalam sistem konvensional susut kepada RM41.22 bilion daripada RM45.12 bilion pada sebelah pagi, manakala mudah tunai dana Islam berkurangan kepada RM31.31 bilion daripada RM32.93 bilion.
Terdahulu hari ini, bank pusat menawarkan tiga tender pasaran wang konvensional, tiga tender Qard dan dua tender repo berbalik.
Pada 4 petang, BNM melaksanakan tender pasaran wang konvensional bagi RM41.2 bilion dan tender pasaran wang Murabahah bagi RM30.3 bilion, kedua-duanya bagi wang dua hari.
Bank pusat juga menyemak tender semalaman Murabahah kepada RM30.3 bilion daripada RM28.4 bilion sebelum ini.
Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 2.74 peratus pada 30 Jan, 2023. - BERNAMA