Tuesday, 21 March 2023

Bursa Malaysia tinggi sedikit pada tengah hari

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 30 Januari- Bursa Malaysia tinggi sedikit semasa mengakhiri sesi dagangan pagi pada Isnin walaupun sentimen bercampur-campur, memandangkan pelabur mengambil petunjuk daripada pasaran Amerika Syarikat (AS) yang ditutup positif minggu lepas.

Bagaimanapun, para pelabur kekal berhati-hati dengan pengumuman kadar faedah Rizab Persekutuan AS pada Rabu.

Semasa rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 0.16 mata kepada 1,497.71 daripada 1,497.55 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks utama dibuka 2.20 mata lebih tinggi kepada 1,499.75 sebelum bergerak di antara 1,496.11 dengan 1,500.95 sepanjang sesi dagangan pagi.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 425 berbanding 383, manakala 400 kaunter tidak berubah, 1,010 kaunter tidak diniagakan dan 54 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.55 bilion unit bernilai RM1.08 bilion.

Menerusi nota penyelidikan, Public Investment Bank Bhd berpandangan sentimen positif dalam pasaran tempatan pagi ini adalah susulan prestasi Wall Street minggu lepas yang menyaksikan S&P 500 yang menjadi penanda arasnya meningkat kira-kira 0.2 peratus pada Jumaat untuk mencatatkan kenaikan 2.5 peratus bagi minggu itu.

“Pelabur sedang mempertimbangkan beberapa prestasi kewangan korporat terkini dan data ekonomi selain menanti keputusan mengenai kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada Rabu ini,” menurutnya.

(Foto hiasan)

Pasaran saham serantau mengalami prestasi bercampur-campur apabila Nikkei 225 Jepun menambah 0.07 peratus kepada 27,402.96 manakala Hang Seng Hong Kong turun 1.62 peratus kepada 22,320.60; Indeks Strait Times Singapura menokok 0.31 peratus kepada 3,383.56 dan Kospi Korea Selatan susut 1.25 peratus kepada 2,452.90.

Di peringkat domestik, saham wajaran tinggi Bursa iaitu Maybank, CIMB dan IHH masing-masing menambah dua sen kepada RM8.76, RM5.76 dan RM5.97 manakala Public Bank naik satu sen kepada RM4.26 dan Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM8.45.

Bagi saham aktif, Borneo Oil naik setengah sen kepada dua sen, Nylex meningkat empat sen kepada 58.5 sen dan Velesto menokok satu sen pada 23 sen, manakala Hong Seng menambah 1.5 sen kepada 19.5 sen dan warannya naik setengah sen kepada dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 10.98 mata kepada 10,904.35; Indeks FBMT 100 naik 6.78 mata kepada 10,570.69 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 12.97 mata kepada 11,190.52.

Indeks FBM 70 melonjak 33.33 mata kepada 13,793.14 dan Indeks FBM ACE naik 31.24 mata kepada 5,762.47.

Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.15 mata kepada 190.92; Indeks Tenaga menambah 10.57 mata kepada 891.33; Indeks Perladangan meningkat 1.24 mata kepada 6,842.47 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 26.21 mata kepada 16,496.40.- BERNAMA