MATTA Fair 2023 sasar nilai jualan RM400 juta
- Written by Media Baharu
- Published in Ekonomi

(Pengerusi Penganjur MATTA Fair Mac 2023, Rocky Kho)
KUALA LUMPUR, 28 Januari - Sejumlah RM400 juta nilai jualan disasarkan bagi penganjuran MATTA Fair 2023 yang bakal berlangsung Mac ini.
Edisi ke-52 pameran pelancongan itu akan menjadi acara terbesar pernah dianjurkan dengan sasaran pengunjung mencecah 250,000 orang.
Pengerusi Penganjurnya, Rocky Kho berkata, pameran kali ini akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dengan ruang pameran lebih besar.
"Penganjuran sebelum ini agak terhad dari segi ruang, jadi jami hanya menumpukan kepada jualan pakej perjalanan, tapi kali ini kami mahu menampilkan sesuatu yang berlainan selepas melalui tempoh pandemik, saya gelarkannya sebagai 'Travel Fun Fair'. Ia akan menggabungkan makanan dan minuman serta kebudayaan dan kesenian," kata beliau dalam sidang media, di sini semalam.
(Foto fail)
Setakat ini, lebih 1,300 gerai pameran telah ditempah dan beliau menjangkakan angka itu akan bertambah dalam tempoh terdekat.
Acara anjuran Persatuan Ejen -Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) itu berlangsung dari 17 hingga 19 Mac ini.
Pameran akan bermula dari pukul 10 pagi hingga 9 malam dan masuk adalah percuma.