Wednesday, 1 February 2023

 

Lawatan kerja Tengku Zafrul ke Itali tarik FDI berpotensi RM3.25 bilion

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 24 Januari- Delegasi lawatan kerja yang diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Itali telah menarik pelaburan langsung asing (FDI) berpotensi bernilai RM3.25 bilion.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi satu kenyataan berkata, lawatan kerja ke Itali dari 20 hingga 23 Januari 2023 itu bagi mengukuhkan hubungan perniagaan antara kedua-dua negara.


(Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri,
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz/BERNAMA)

MIDA berkata, syarikat-syarikat di Itali menyatakan minat mereka untuk melabur di Malaysia berikutan kedudukan yang strategik sebagai pintu masuk Asean dan rantau Asia Pasifik.

"Kejayaan dalam menarik FDI berpotensi dijangka akan direalisasikan mulai 2023 dan seterusnya", menurut kenyataan itu.

"MIDA bersedia untuk menggandakan usaha untuk membuka jalan kepada pelabur asing untuk menjadikan Malaysia hab pelaburannya.

Menurut kenyataan itu juga, Tengku Datuk Seri Zafrul berkata, selaras dengan komitmen kerajaan untuk menjadi pro-perniagaan, pro-pelaburan dan pro-perdagangan, MITI dan agensinya bersedia meningkatkan hubungan dengan pelabur.

Pelabur ini yang membawa masuk pelaburan berteknologi tinggi dan berkualiti seterusnya membantu mewujudkan pekerjaan bergaji lebih baik untuk rakyat Malaysia.

Dalam lawatan itu juga, Tengku Datuk Seri Zafrul turut melakukan libat urus dengan pemimpin perniagaan yang berpengaruh dan berpotensi dalam pelaburan.

Itali merupakan pelabur asing ke-9 terbesar di Malaysia daripada Kesatuan Eropah.