Wednesday, 1 February 2023

 

Kadar inflasi di Malaysia mereda kepada 3.8 peratus

  • Published in Ekonomi

PUTRAJAYA, 22 Januari - Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia mereda kepada 3.8 peratus pada Disember 2022, berbanding 4.0 peratus bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan perlahan kumpulan makanan & minuman bukan alkohol kepada 6.8 peratus berbanding pada bulan sebelumnya iaitu 7.3 peratus menyumbang kepada peningkatan lebih rendah inflasi negara.

"Ini diikuti oleh kumpulan pengangkutan 4.9 peratus dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah 3.7 peratus yang turut merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding November 2022.

"Namun begitu, restoran & hotel terus menunjukkan peningkatan kepada 7.4 peratus berbanding November 2022 iaitu 7.0 peratus," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia dalam keluaran terkini IHP, terbitan Disember 2022.

Tambah Mohd Uzir, inflasi bagi keseluruhan 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus yang dicatatkan pada 2021.

Katanya peningkatan ini didorong terutamanya oleh kumpulan makanan & minuman bukan alkohol (5.8 peratus), restoran & hotel (5.0 peratus) dan pengangkutan (4.7 peratus).

(Malaysia mencatatkan kadar inflasi lebih rendah berbanding kebanyakan
negara lain di Asia Pasifik / FOTO HIASAN)

"Konflik antara Russia dan Ukraine serta kenaikan harga komoditi global pada tahun lalu menyumbang kepada kenaikan inflasi," katanya.

Dalam pada itu, inflasi teras yang mengukur perubahan dalam harga barang dan perkhidmatan, tanpa mengambil kira harga makanan segar yang tidak menentu serta harga barangan kawalan oleh kerajaan mencatatkan peningkatan 4.1 peratus pada Disember 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai inflasi negara lain, Mohd Uzir berkata, kadar inflasi Zon Euro mereda kepada 9.2 peratus pada Disember 2022 daripada 10.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Katanya, peningkatan perlahan ini didorong oleh inflasi tenaga yang mereda kepada 25.7 peratus berbanding 34.9 peratus pada bulan sebelumnya.

"Kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) mereda kepada 6.5 peratus pada Disember 2022 berbanding November 2022 (7.1 peratus).

"Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia (3.8 peratus) adalah lebih rendah berbanding inflasi di Filipina (8.1 peratus), Thailand (5.9 peratus), Indonesia (5.5 peratus) dan Korea Selatan (5.0 peratus)," katanya.