Wednesday, 1 February 2023

 

Kadar OPR kekal, beri ruang kerajaan nilai isu kos sara hidup rakyat - Penganalisis

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 22 Januari - Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dilihat bertepatan dengan keadaan ekonomi semasa.

Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin berpandangan keputusan tersebut dilihat dapat memberi ruang kepada kerajaan untuk menilai tindakan selanjutnya terutama isu kos sara hidup rakyat.

Katanya, keputusan untuk mengekalkan OPR juga diharap mampu membawa kesan kestabilan ke dalam rantaian bekalan sekali gus menyuntik keyakinan dalam pasaran.

(Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin)

"Kita melihat kadar inflasi global pun dikatakan berada pada tahap yang dikatakan sebagai paras puncak. Ada indikasi menunjukkan ia akan berada pada keadaan lebih stabil.

"Pusingan dasar moniteri yang diperketatkan dalam konteks negara dunia pun sudah memperlahankan dari segi kuantitinya...di AS pun peningkatannya tidaklah tinggi seperti sebelumnya," katanya kepada RTM.

BNM menaikkan kadar OPR pada 25 mata asas sebanyak empat kali berturut-turut sejak Mei 2022 berbanding paras terendah 1.75 sejak Julai 2020.