Wednesday, 1 February 2023

 

Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 8 Disember - Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur hari ini berikutan kekurangan momentum belian. 

Pada pukul 9.22 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.43 mata kepada 1,468.31 daripada 1,466.88 pada Rabu.

Saham pandu pasaran dibuka rendah 0.49 mata kepada 1,467.37.    

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 229 berbanding 208 manakala 269 kaunter tidak berubah, 1,549 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 454.02 juta unit bernilai RM146.66 juta.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata ia percaya bahawa tumpuan adalah pada pembentangan semula Bajet 2023, menyatakan peniaga akan memantau langkah kerajaan untuk menangani kos sara hidup yang tinggi.


(Foto fail)

“Pelabur mungkin memilih saham perbankan pada bulan aktiviti memperelokkan akaun selain mencari saham pengguna yang defensif untuk diperoleh di bawah persekitaran yang mencabar ini,” menurut firma broker itu.

Katanya saham pelancongan juga mungkin menjadi perhatian selepas China melonggarkan langkah-langkah COVID-19 sifarnya manakala sektor teknologi dijangka mencatatkan jualan berikutan pelabur mungkin berada dalam sentimen mengelak risiko dengan ketidaktentuan global.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.43, TNB melonjak 10 sen kepada RM9.17 dan Hong Leong Bank naik 14 sen kepada RM20.48 manakala Maybank tidak berubah pada RM8.65, Petronas Chemicals berkurangan 10 sen kepada RM8.45 dan CIMB merosot dua sen kepada RM5.64.

Daripada saham aktif, Sarawak Consolidated meningkat satu sen kepada 18.5 sen, Comintel menambah 19 sen kepada 88 sen dan Borneo Oil naik setengah sen kepada 2.5 sen manakala KNM tidak berubah pada lima sen dan AHB Holdings merosot 2.5 sen kepada 16 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 3.71 mata kepada 10,547.37, Indeks FBMT 100 naik 8.32 mata kepada 10,253.84, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 11.34 mata kepada 10,698.40, FBM 70 menokok 3.62 mata kepada 12,904.94 dan FBM ACE naik 11.52 mata kepada 5,510.23.  

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 2.22 mata kepada 6,728.53 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 7.01 mata kepada 16,476.55, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.85 mata kepada 180.52 dan Indeks Tenaga susut 5.75 mata kepada 782.64. -BERNAMA