Wednesday, 8 February 2023

 

TH usaha beri pulangan munasabah kepada pendepositnya

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 28 November - Prestasi pasaran pelaburan domestik dan global akan menentukan kadar agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) tahun ini.

Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulannya, Mustakim Mohamad berkata meskipun berdepan pelbagai cabaran, TH akan berusaha memberi pulangan munasabah kepada pendepositnya.

Persekitaran pelaburan ketika amat mencabar bagi semua institusi pelaburan, termasuk TH.

Perang antara Rusia dan Ukraine, polisi sifar COVID-19 China, kenaikan ketara kadar inflasi, ketidaktentuan pasaran saham dan modal antara faktor yang memberi kesan kepada pelaburan TH dan institusi-institusi pelaburan lain.

Sementara itu, peningkatan kos haji secara mendadak berikutan kos tambahan dikenakan pihak berwajib Arab Saudi dijangka memberi kesan kepada jumlah agihan keuntungan TH tahun ini.

Tahun ini bantuan kewangan haji ditanggung TH berjumlah hampir RM200 juta disamping perbelanjaan operasi hampir RM50 juta.

(FOTO FAIL)

Bagi memastikan simpanan pendeposit tidak terlalu terjejas oleh ketidaktentuan pasaran, TH melaksanakan pelaburan berhemah dan berdaya tahan termasuk penambahbaikan alokasi aset strategik sejak 2019.

Strategi tersebut menampakkan hasil positif dengan jumlah pendapatan separuh pertama 2022 berdaya tahan, menyaksikan penurunan 3% berbanding tempoh sama tahun 2021.

Manakala pulangan simpanan kekal kompetitif pada tahun 2020 dan 2021, lebih tinggi berbanding simpanan syariah di bank-bank tempatan.