Wednesday, 8 February 2023

 

Sime Darby Plantation serah pelan tindakannya, lebih awal dari jadual

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 28 November - Sime Darby Plantation Bhd (SDP) telah menyerahkan pelan tindakannya berhubung penemuan pasukan penilaian pengesahan bebas kepada organisasi Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) lebih awal daripada jadual.

Syarikat perladangan itu menjelaskan langkah berkenaan diambil selepas surat yang dihantar pihaknya kepada RSPO pada 17 November, 2022 menyatakan bahawa penemuan pasukan penilaian RSPO ‘tidak menggambarkan keadaan semasa operasi syarikat’.

SDP juga menambah bahawa pasukan penilai telah mengenal pasti pelanggaran Standard RSPO, termasuk pembayaran fi pengambilan pekerja kepada ejen, subejen atau pihak ketiga yang tidak dilaporkan, serta penahanan pasport.

Pihak SDP telah menilai dan menyelesaikan penemuan itu melalui pelaksanaan semakan besar-besaran, penambahbaikan dan pengubahsuaian dasar dan amalannya dalam tempoh setahun lepas, jelas syarikat itu menerusi satu surat kepada RSPO bertarikh 25 November, 2022.

“Kami bangga atas usaha kami sepanjang 18 bulan lepas dan berkongsi sekali lagi inisiatif yang dilakukan berhubung setiap item, yang kami percaya, dalam banyak keadaan berada di atas prinsip dan keperluan kriteria RSPO.

“Kami benar-benar yakin untuk mencapai visi RSPO menjadikan minyak sawit lestari sebagai norma, menggunakan teori perubahan, SDP telah melaksanakan usaha penambahbaikan berterusan termasuk latihan tetap dan inisiatif kesedaran ditambah dengan audit dalaman, pengesahan, langkah, tinjauan berkala ke atas pekerja, penubuhan saluran aduan dan dialog sosial sebagai pemboleh utama,” menurut SDP.

(FOTO BERNAMA)

Pada 14 November lepas, organisasi RSPO telah meminta SDP untuk melengkapkan pelan tindakan dalam tempoh enam bulan akan datang bagi menangani kelemahan dalam sistem dan proses sedia adanya yang telah dikenal pasti.

RSPO menjelaskan subbahagian pematuhan sekretariatnya akan memantau pelaksanaan aktiviti (pelan tindakan) selama enam bulan dari Disember 2022 hingga Mei 2023.

RSPO menjalankan penilaian itu susulan Perintah Tahan Pelepasan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat pada 30 Disember, 2020 ke atas semua minyak sawit dan produk yang mengandungi minyak sawit yang dikeluarkan SDP. - BERNAMA