Wednesday, 8 February 2023

 

Bursa Malaysia dijangka pamer trend lebih tinggi minggu depan

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 27 November - Bursa Malaysia dijangka mempamerkan trend lebih tinggi minggu depan, kembali pulih daripada kegiatan pengambilan untung selain disokong minat risiko lebih baik daripada pelabur asing.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berpendapat, sentimen pasaran akan kekal positif minggu depan dengan FBM KLCI dijangka menguji semula paras 1,500 mata.

Indeks penanda aras diunjur berada dalam julat 1,500 dan 1,530 mata minggu depan.

Pelabur asing kembali semula ke pasaran Khamis lalu, setelah aktiviti penjualan sejak beberapa minggu lepas dengan mencatat nilai jualan bersih RM300 juta.

Pelabur disaran memberi tumpuan kepada saham bermodal besar seperti bank dan syarikat telekomunikasi.

(FOTO HIASAN)

Pasaran dijangka akan terus memantau rapat perkembangan barisan Kabinet diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Bajet 2023.

Bagi minggu baru berakhir, penanda aras FBM KLCI bergerak dalam dagangan tidak menentu berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pasaran bagaimanapun melantun dan bergerak cergas selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Selain itu, perkembangan luaran yang positif turut menyemarakkan minat risiko pelabur.