Friday, 9 December 2022

Kebanyakan negara terkesan ekoran peningkatan kadar faedah AS

  • Published in Ekonomi

(Foto hiasan)

KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Peningkatan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) memberi impak kepada kebanyakan negara di dunia.

Bagaimanapun jelas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz keadaan itu tidak bermakna kesemua negara tersebut gagal dalam menguruskan ekonomi.

Setiap negara katanya, mempunyai cabaran dan dasar-dasar monetari masing-masing.

Nilai mata wang sesebuah negara juga bukan satu-satunya kayu ukur dalam menentukan sama ada mereka berhadapan dengan krisis.

(Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz)

"Definisi sebenar krisis ekonomi adalah apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) merosot secara mendadak, kadar pengangguran dan kebankrapan meningkat dengan ketara, dan taraf hidup keseluruhan penduduk terkesan.

"Definisi krisis kewangan pula adalah apabila sesetengah aset kewangan tiba-tiba susut nilainya secara mendadak dalam masa yang singkat," kata Zafrul di sini.

Tambahnya, pelbagai faktor luaran yang bukan dalam kawalan kerajaan, turut memberi impak langsung kepada isu nilai mata wang ringgit dan inflasi.

Seperti dinyatakan Bank Dunia baru-baru ini, tiada penyelesaian cepat dan mudah kepada situasi ringgit berbanding dolar.

Justeru, kerajaan komited untuk memberi tumpuan kepada pengukuhan asas ekonomi dan pembaharuan struktur.