Thursday, 8 December 2022

Bursa Malaysia dijangka didagangkan berhati-hati minggu depan

  • Published in Ekonomi

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 2 Oktober- Bursa Malaysia dijangka didagangkan berhati-hati minggu depan, berikutan ketidaktentuan ekonomi global terus mempengaruhi sentimen.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks penanda aras diunjur berlegar antara julat 1,390 mata hingga 1,410 mata minggu depan.

"Aktiviti pembelian ketika harga rendah turut diramalkan berikutan FBM KLCI kekal pada kedudukan terlebih jual.

"Namun, tekanan ke atas saham tempatan dan serantau dijangka berterusan memandangkan kadar faedah dan hasil bon semakin tinggi," kata Thong Pak Leng.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, Bursa Malaysia mengalami penurunan seiring pasaran serantau dan prestasi Wall Street.

FBM KLCI merosot bawah paras 1,400 pada Khamis ekoran kekurangan sokongan belian.

(Bank Negara/Foto file)

Sementara itu, ringgit dijangka diniagakan lebih tinggi minggu depan antara 4.59 dengan 4.62 berbanding dolar Amerika Syarikat.

Ia berikutan sentimen pasaran yang lebih baik.

Ketidakstabilan tukaran mata wang asing kekal pada paras tinggi dan dijangka semakin meningkat berikutan dasar monetari agresif bank-bank pusat seluruh dunia.