Thursday, 8 December 2022

Penubuhan Mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa perlu dipertimbangkan

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 1 Oktober - Malaysia menyarankan supaya penubuhan Mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa perlu dipertimbangkan, untuk memastikan sistem kewangan lebih efektif, saksama, serta mampu mengimbangi keperluan pembangunan sejagat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata Kuala Lumpur percaya kerjasama dan penyelarasan monetari antara negara perlu dipertingkatkan, bagi mencapai matlamat kesejahteraan ekonomi yang lebih adil untuk semua.

(Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz)

"Negara kuasa besar dunia perlu menggalas tanggungjawab dengan apa-apa keputusan dasar mereka. Sudah pastinya saya akan menyuarakan perkara ini di mesyuarat musim luruh bank dunia dan IMF yang akan bersidang pada pertengahan Oktober kelak," kata Zafrul di sini.

Selain itu, kerjasama lain yang pernah dilaksanakan di peringkat dunia adalah semasa Krisis Kewangan Global 2008 apabila bank pusat di negara-negara maju telah bekerjasama untuk mengelak krisis kewangan daripada merebak ke serata dunia.

Beliau berkata institusi multilateral seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, Bank Penyelesaian Antarabangsa (BIS) dan Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO) juga perlu lebih proaktif dalam membantu negara membangun seperti Malaysia dan lain-lain di rantau ini.