Thursday, 8 December 2022

ASNB umum pengagihan pendapatan 3.75 sen seunit untuk ASM 3

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 3.75 sen seunit untuk dana harga tetapnya, Amanah Saham Malaysia (ASM 3) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2022.

Agihan pendapatan akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit hari ini.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam kenyataan memaklumkan, pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM573.66 juta akan memanfaatkan 551,685 ahli yang memegang 15.3 bilion unit.

(Foto fail)

Secara keseluruhan, dana tersebut merekodkan pendapatan kasar berjumlah RM757.81 juta dan RM575.87 juta pendapatan bersih direalisasi di sebalik kebimbangan kemelesetan ekonomi dan gangguan rantaian bekalan global yang menjejaskan prestasi pasaran global.

"Pendapatan untuk ASM 3 diperoleh daripada hasil keuntungan direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

"Strategi kepelbagaian yang dilaksanakan dana ini juga menunjukkan hasil positif dengan ekuiti antarabangsa menyumbang 40.9% kepada pendapatan kasar keseluruhan dana," menurut kenyataan itu.

(ASNB umum pengagihan pendapatan 3.75 sen seunit untuk ASM 3)