Thursday, 8 December 2022

Harapan Bajet 2023: insentif bersasar inklusif penggiat sektor pelancongan

  • Published in Ekonomi

KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Meningkatkan kemampanan dan mengukuhkan promosi produk pelancongan adalah antara yang perlu diberi perhatian dalam pembentangan Bajet 2023, menurut penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai.
u
Beliau berpandangan lebih banyak insentif bersasar yang inklusif buat penggiat sektor pelancongan perlu diberi perhatian.

"Pembangunan sektor pelancongan di Malaysia ini akan menjadi strategi serampang banyak mata. Bukan hanya memulihkan ekonomi kerana sektor pelancongan menyumbang sehingga hampir 20% kepada Keluaran Negara Kasar (KNK).

"Jadi bila kita pulihkan sektor pelancongan, kita pulihkan KNK. Pada masa sama, kita juga memulihkan pembangunan perniagaan industri kecil dan sederhana, perniagaan mikro. Ramai peniaga mikro terlibat dalam sektor pelancongan," kata Dr. Barjoyai kepada RTM.

(Profesor Emeritus Dr. Barjoyai berharap insentif bersasar inklusif penggiat sektor
pelancongan dalam Bajet 2023)

Sektor pelancongan kesihatan dan pelancongan pendidikan juga perlu diberi keutamaan kerana kedua-duanya berupaya menjana pendapatan negara.

"Pelancongan kesihatan akan menjadi potensi pada masa akan datang kerana ia dipanggil perniagaan mampan. Mereka tidak mengalami kegawatan kerana kesihatan ni tidak kira kegawatan atau tidak, orang akan datang.

"Bahkan dengan itu juga, satu lagi ialah pelancongan pendidikan yang perlu ditonjolkan kerana kita di Malaysia hari ini ada enam universiti yang ternama di Asia Tenggara ada di Malaysia dan antara yang terbesar antara negara di Asia Tenggara,"katanya.

BERITA BERKAITAN
Bajet 2023: Industri belia dan sukan harus diberi perhatian - KBS
Bajet 2023 : Tumpu pelancongan mampan, kurangkan perbelanjaan utiliti
Bajet 2023 : Tumpuan Dewan Rakyat kali ini
Bajet 2023 kekal fokus bina semula, kukuhkan ekonomi

"Pada asalnya, kita ada sasaran untuk membawa lebih 200,000 pelajar datang ke Malaysia untuk mengikuti ijazah siswazah di Malaysia. Ini sudah dicapai dan perlu digalakkan kerana nilai tambah dalam sektor pelancongan pendidikan adalah tinggi dan perlu menjadi sasaran utama," tambah beliau.

Menerusi Bajet 2022, tujuh inisiatif utama dengan nilai keseluruhan RM1.6 bilion dilaksana bagi membantu sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.