Tuesday, 29 November 2022

Eksport produk berasaskan sawit meningkat kepada RM108.52 bilion - Zuraida

  • Published in Ekonomi

JOHOR BAHRU, 28 September - Eksport minyak dan produk berasaskan sawit negara meningkat kepada RM108.52 bilion pada tahun lepas berbanding RM73.33 bilion pada tahun 2020.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata sumbangan subsektor sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 juga berjumlah RM44.98 bilion.

Menurutnya, jumlah tersebut mewakili 53.38 peratus daripada keseluruhan KDNK dalam sektor agrikomoditi negara.

(Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin / FOTO FAIL)

"Kementerian sentiasa menyokong pembabitan industri dalam memperkasa pengeluaran eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit untuk memastikan sektor agrikomoditi terus mencatat sumbangan KDNK yang memberangsangkan bagi menggalakkan pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19," katanya selepas mengadakan lawatan ke Kilang Delima Oils Products dan FGV Kernel Products di Pasir Gudang, di sini.

Tambah Zuraida, FGV Holdings Bhd muncul antara pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar dunia yang menyumbang kepada 15 peratus daripada jumlah pengeluaran tahunan MSM Malaysia.